Penemuan bukti di Bukit Bunuh yang dijalankan sejak 2001 telah
menjadikannya antara tapak Paleolitik terpenting di dunia kerana
mendedahkan sebuah kompleks Paleolitik seluas empat kilometer persegi
dengan pentarikhan lebih 1.83 juta tahun, 40,000 dan 30,000 tahun
dahulu.
|
Sorotan Peristiwa Persidangan & Lawatan Galeri Arkeologi USM |
Kajian yang telah dijalankan meletakkan Bukit Bunuh sebagai tapak tertua dunia yang
berada di luar Afrika dan mempunyai pentarikhan kronometrik yang telah
mengukuhkan lagi bukti prasejarah di Lembah Lenggong serta menjadikannya
sebuah lembah arkeologi yang penting di dunia.
Penyelidikan di Bukit Bunuh juga telah menemukan bukti faktor
kemusnahan budaya awal paleolitik ini akibat jatuhan meteorit pada 1.83
juta tahun dahulu yang telah dikenal pasti melalui bukti geomorfologi,
kehadiran batuan 'suevite' dan geologi kawasan.
|
Kapak genggam (handaxe) dalam Batuan Suevite Berusia 1.83 juta tahun (Kesan Meteorit) di Bukit Bunuh |
Terdapat 16 pembentangan kertas kerja oleh pakar-pakar geologi dan
arkeologi serta ucaptama yang akan disampaikan Pengarah Pusat
Penyelidikan Arkeologi Global USM Prof Dr Mokhtar Saidin, pakar meteorit
dari Natural History Museum, Vienna, Austria Dr Ludovic Ferriere dan
pakar arkeologi dari Deccan College, Pune, India Prof Dr Sheila Mishra sempena Persidangan Antarabangsa Arkeogeologi Pada 16-18 Julai 2012 di Eastin Hotel, Pulau Pinang.